Jumaat, 24 Januari 2014

Jalan-Jalan Ke Padang-Bukittinggi : Hari Kedua

Assalamualaikum wbt

Selasa, 21 Januari 2014, hari kedua di Bukitttinggi, seawal jam 7.00 pagi waktu tempatan, kami turun ke aras 2, Hotel Bunda untuk bersarapan. Menu yang disediakan ialah mee goreng dan nasi goreng disamping menu-menu sampingan. Sesudah bersarapan, kami menunggu Pak Roni di lobi hotel. Tepat jam 8.00 pagi, Pak Roni tiba, Alhamdulillah, Pak Roni seorang tour guide yang sangat menepati masa. Kami terus menaiki bas untuk lawatan seterusnya.
Sofia makan telur.. sekali kentut.. uweekkkk...
Hentian pertama kami pagi ini ialah outlet Kerepek Sanjai Ummi Aufa Hakim. Terdapat ramai pengusaha kerepek di Bukittinggi. Menurut Pak Roni, jenama Ummi Aufa Hakim telah mendapat beberapa anugerah termasuk dari Presiden. Di outlet ini, kami diberi peluang untuk merasa produk-produk yang dijual. Yelah, nanti kalau beli, tak sedap, rugi pulak kan. Jadi baik cuba dulu. Kebanyakan kerepek yang dijual memang sedap. Ada juga produk-produk sampingan seperti keli slai dan belut salai. Kerepek-kerepek yang dibeli akan diisi dalam kotak dan diseal  (kalau banyaklah.. kalau beli 2 bungkus tak dapatlah kotak). Jadi, tidaklah kerepek-kerepek yang kita beli bercampur dengan kain baju dalam beg nanti.
Outlet Kerepek Ummi Aufa Hakim
Pilih-pilih..
Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Baso melawat Sulaman Hajjah Rosmah yang glamour tu. Ko ingat Rosmah Mansur je yang glamour? . Hajjah Rosmah merupakan pengajar sulaman yang terkenal di sini. Di belakang rumah Hajjah Rosmah terdapat bengkel untuk pelajar yang terdiri dari anak-anak gadis belajar menyulam (aku tak nampak pulak mak orang belajar menyulam kat sini). Biasanya, setelah tamat belajar, pelajar-pelajar akan menghasilkan satu sulaman untuk dijual sebagai tanda terima kasih mereka. Pak Roni terlebih dahulu memaklumkan kepada kami bahawa sulaman di sini adalah esklusif  dan harganya mahal. Aku tak pandai nak menilai sulaman. Tapi dari sentuhan jari-jari aku, aku dapat rasakan sulamannya halus tetapi berat. Sulamannya jatuh. Aku berkenan dengan kebaya kanak-kanak warna pink untuk Sofia. Harganya cuma Rp150,000, pada aku taklah mahal mana. Lebih kurang RM50 je. Tahun lepas aku beli baju kebaya Sofia yang takde sulam di Jalan TAR pun dah RM50 juga. Ini dengan kualiti kain dia, sulaman dia, memang aku belilah. Kak Nor pun belikan sehelai kebaya untuk Putri.
Seorang pelajar sedang menjahit sulaman
Putra mencuba kebaya
Hajjah Rosma duduk menyambut tetamu
Kami meneruskan perjalanan ke Lembah Harau di Paya Kumbuh.Apa yang menarik di sini ialah bentuk didnding-dinding yang curam. Rasa gerun pun ada. Dinding-dinding batu tu macam nak runtuh je. Teringat pulak lagu Dato' Siti...

Di sekelilingmu ada dinding dinding 
Yang menghadangi dan menghalangi
Di sekelilingmu ada laut - laut 
Yang menghampari dan merintangi
Jiwa serta raga
Cinta jiwa cinta
Kau harunginya
Kau harunginya

Di beberapa bahagian, terdapat air terjun. Tapi masa kami datang ni waktu kemarau, air tak berapa laju. Lawatan aku sebelum ini pun musim kemarau juga, jadi aku tak pernah berpeluang lihat keadaan air terjun di sini seperti gambar dalam beberapa blog lain.
Permandangan sawah padi menghijau
Sawah yang diapit dinding-dinding
Dinding-dinding yang tinggi dan curam
Air terjun yang tak berapa nak ada
Di sekitar kawasan ini juga terdapat gerai-gerai makan dan cenderamata. Aku tertarik dengan pokok-pokok hutan yang dijual di sini seperti paku pakis, orkid dan periuk kera. Alangkah best kalau dapat bawa balik. Di sini juga, kita boleh mendengar echo dari jeritan suara kita hasil pantulan bunyi dari dinding-dinding. Bila menjerit, macam ada orang di atas dinding-dinding batu tu menjerit balik pada kita.
Periuk kera
Orkid hutan
Paku pakis
Tempat echo
Kami seterusnya dibawa ke premis perusahaan pisang salai dan kopi Kiniko di Tabek Patah. Di sini dapatlah kami melihat bagaimana pisang salai dihasilkan. Kami juga berpeluang mencuba beberapa jenis kopi yang mempunyai khasiat sendiri seperti menurunkan paras kolestrol. Ada juga air pinang muda, tapi orang yang ada tekanan darah tinggi, jangan cuba minum ya. Tapi bagi aku, pisang salai di sini tak sesedap pisang salai yang aku beli di outlet Ummi Aufa tadi. Citarasa orang lain-lain kan.

Pekerja memotong kulit kayu manis
Pisang yang siap dihiris bersedia untuk disalai dalam oven
Pisang salai yang baru siap diproses
Kaunter kopi dan kuih muih tradisional.. kuih kena bayar ye..
Teh Daun Mulberry
Teh Daun Kopi
Teh Kawa Daun
Di Kiniko ini disediakan ruangan untuk pengunjung berehat sambil mencuba kopi dan pisang salai dan melihat permandangan. Landskap di sini memang cantik. Macam-macam jenis bunga ada, siap ada tag nama lagi, manalah tau kot ada pelajar-pelajar nak belajar botani.
Sofia dan Nenek Kajang
Aini dan Emaknya
Susah nak suruh anak-anak aku bergambar..kena paksa..
Air kulit kayu manis
Jualan pisang salai dan produk lain
Bunga loceng.. jin bogel.. jin bogel..
Dari Tabek Patah, kami terus menuju ke Rumah Makan Pondok Flora di Jalan Sungai Tarab-Batu Sangkar. Restoran ni terletak dalam kawasan sawah padi dan berkonsep restoran terapung. Di sini pengunjung makan di atas pelantar kolam-kolam ikan. Lebihan-lebihan makanan dibuang terus ke dalam kolam untuk makanan ikan. Ada review yang kurang selesa di restoran ini kerana bau kolam tu naik. Macam bau lumpur, tapi tak kuat sangat. Bila nasi panas dah terhidang di atas meja, tak perasan pun bau tu. Makanan di sini sedap juga. Ada lauk-lauk kampung seperti gulai jering dan rendang minang. Terbaiklah. 
Papan tanda Pondok Flora
Burung hantu yang glamour, gambarnya banyak dalam blog-blog lain

Sate Minang di sini sedap
Makanan di sini sedap juga
Mat Salleh pun makan masakan Minang
Lebihan makanan dibuang ke dalam kolam untuk makanan ikan
Kera? Beruk?
Hamzah bergaya di hadapan Restoran Pondok Flora
Istana Silindung Bulan
Selepas penuh perut diisi, kami meneruskan perjalanan ke Batu Sangkar untuk melawat Istana Pagaruyung. Dalam perjalanan kami sempat melihat batu bersurat dan Istana Silindung Bulan yang dalam proses pembaikan setelah hangus terbakar sebelum ini. Selepas melewati Istana Silindung Bulan, terdapat sepohon kelapa unik yang mempunyai pelbagai cerita. Cerita yang popular ialah pokok kelapa itu menjadi berlekuk-lekuk selepas tragedi tsunami dan gempa bumi. Namun menurut Pak Roni, keadaan pokok kelapa itu adalah semula jadi begitu sejak dahulu dan bukan berpunca dari tsunami atau gempa bumi.
Pokok kelapa goyang inul
Sampai di Istano Pagaruyung, aku terus membayar tiket masuk sebanyak Rp12,000 seorang. Budak-budak yang belum sekolah tidak perlu membeli tiket, gratis aja. Istana ni baru aje dibuka untuk orang awam. Istana ni merupakan replika istana lama yang etrbakar akibat petir pada tahun 2007. Aku sempat melawat istana sebelum ini yang juga merupakan replika pada tahun 2006. Aku rasa, replika yang aku lawat pada 2006 dulu lebih cantik dan berkualiti. Replika yang baru ni, kayunya macam tak berapa baik. Renggang-renggang dan macam melendut bila dipijak. Entahlah, perasaan aku je kot.
Istano Pagaruyung
Tiket masuk
Pintu utama
Ruang dalam
Kebetulan semasa kami melawat Istana ni, ada production tengah buat shooting. Nampak seorang perempuan pakai baju ala-ala pengantin siap dengan crown dan selempang tertulis 'Puteri Indonesia 2013'. Ramai orang tempatan berpusu-pusu nak bergambar dengan minah yang bergaya vogue ni. Rupanya 'Puteri Indonesia' ni merupakan pertandingan Ratu Cantik ala-ala 'Dewi Remaja' tu. Dia ni pemenang tahun 2013. Yang kelakarnya, masa balik dari Pagaruyung menuju ke Singkarak, kami melalui sebuah kawasan kampung. Penuh orang kampung keluar, rupanya 'Puteri Indonesia 2013' ni singgah di kampung tu. Siap bergambar dengan kerbau lagi.. MOTIF.. Pakai macam nak rak.. bergambar dengan kerbau..
Terjumpa pula Puteri Indonesia.. macam bagus je minah ni..
Ruang dalam
Permandangan luar dari tingkat 2
Lampu klasik
Ruang tingkat 2
Pintu gerbang Istano Basa Pagaruyung
Selepas melawat Istana Pagarruyung, kami dibawa ke Bukittinggi melalui Tasik Singkarak yang merupakan tasik kedua terbesar di Sumatera selepas Danau Toba. Tasik ini merupakan tasik semulajadi. Di sekitar tasik ni terdapat ramai penjual ikan bilis hasil dari tasik ini. Masa ni, kami semua dah penat, jadi just duduk-duduk je berehat, tambahan pula cuaca hujan tapi mujur tak lama. Dalam sejam juga kami melepak di sini. Kami kemudian terus menuju pulang ke Bukittinggi, berehat dan bersiap-siap untuk makan malam.
Tasik Singkarak
Nampak tak ikan bilis tu. Susah payah aku menyelam nak ambil gambar ikan bilis ni
Dalam jam 7.30 malam, Pak Roni tiba di perkarangan hotel. Untuk malam ini, kami makan di Restoran Sederhana. Entah macam mana aku lupa pulak nak ambil gambar restoran ni. Seperti biasa, kami menikmati hidangan Nasi Padang. Rasa masakan di restoran ini juga sedap. Martabak Mesir di sini juga jauh lebih sedap berbanding di Restoran Kubang Hayuda. Selepas selesai menikmati makan malam, kami di bawa menyaksikan pertunjukan kebudayaan Minangkabau. Pengunjung dikenakan bayaran sebanyak Rp50,000 seorang untuk menyaksikan pertunjukan ini. 
Pengacara majlis
Pertunjukan ini terdiri dari persembahan instrumen telempong (caklempong), gendang, silat dan tarian. Persembahan dimulakan dengan pukulan beduk oleh seorang wakil pengunjung, diikuti dengan tari selamat datang yang mana penari memberikan sirih kepada pengunjung dan kemuncak persembahan ialah tarian piring. Aku masih ingat sewaktu kali pertama melihat persembahan kebudayaan ini pada tahun 2006, ada dipersembahkan jenis-jenis telempong. Masa tu aku tertarik dengan 'telempong pacik' yang digunakan untuk mengiringi pengantin. Masa majlis perkahwinan aku dulu pun aku gunakan 'telempong pacik' menggantikan kompang. Nampak lain dari yang lain.. he.. he.. Selesai persembahan, penari-penari dan pemuzik menjual rakaman persembahan tersebut dengan harga Rp100,000 - Rp150,000, dan alat-alat muzik tradisional dari tanduk kerbau. Aku tak beli pun sebab bajet. Tapi kesian juga, diorang menari bersungguh-sungguh terutamanya seorang penari tu yang dari awal sampai akhir sentiasa manis dengan senyuman. Jom tonton tarian yang aku upload di You Tube ni.
Penari membawa dulang berisi sirih
Tarian
Silat Minangkabau
Persembahan gendang
Permulaan Tarian Lilin
Abang Api
Abang Api lagi.
Abang api berguling-guling di atas kaca.. belakang badan gatal kot..
Kemuncak tarian lilin
Joget bersama penonton
Bukan main mak aku berjoget
Jualan cenderahati