Assalamualaikum wbt. Sebelum aku terus memulakan perkongsian percutian aku di Jogjakarta, jari-jari aku nak bercerita tentang hotel tempat kami menginap selama 4 hari 3 malam di Kota Jogjakarta ini. Tiga bulan sebelum tarikh perjalanan, aku dah mula mencari bilik hotel yang sesuai. Aku mencari hotel yang menyediakan extra bed atau family room. Ada beberapa hotel yang menarik minat aku menerusi tawaran harga yang murah iaitu Hotel Grage, Malioboro Inn, Summer Season Boutique Hotel dan Hotel Mutiara. Akhirnya aku memilih Summer Season Boutique Hotel setelah terpengaruh dengan review yang diberikan oleh seorang blogger.
Hotel Summer Season ni terletak di Jalan Sosrowijayan. Kalau sepanjang Jalan Malioboro dari Stesen Keretapi Tugu, Jalan Sosrowijayan merupakan lorong pertama sekali. Sepanjang 3 malam di Jogjakarta, setiap malam aku sekeluarga akan berjalan-jalan sekitar Jalan Malioboro. Aku pilih bilik 'executive' yang membolehkan satu bed extra dimasukkan. Kalau bilik biasa tak muat nak masuk extra bed sebab saiz biliknya kecil. Harga Bilik Executive dengan Extra Bed selama 4 hari 3 malam tu cuma RM511.68. Duduk hotel mahal-mahal pun rugi je sebab masa lebih banyak di luar.
Hotel ni mempunyai staff yang friendly. Tapi aku kesal juga sebab email aku tidak dibalas. Aku ada email hotel ni untuk maklumkan yang aku akan check in lewat iaitu antara jam 6-7 petang. Sekurang-kurangnya replylah kan. Ini sepatah haram pun pihak hotel tak reply. Nasib baik masa sampai-sampai je, aku bagi baucer agoda, terus dapat check in, tanpa ada sebarang masalah.. Alhamdulillah..
Staff di hotel ini juga JUJUR. Pernah isteri aku tertinggal cincin di sinki. Apabila balik dari berjalan, cicncin tu masih ada walaupun bilik dan bilik air telah dikemas. Alhamdulillah, pekerjanya jujur.
Bilik air juga dilengkapi dengan air panas. Tapi macam tak terkawal je kepanasannya. Kadang-kadang rasa terlalu panas. Untuk menunggu air panas juga mengambil masa. Kalau nak mandi pagi, kena buka shower tu beberapa minit dulu kemudian baru air panas keluar. Kalau tidak, mandi air sejuk lah.
Hotel ni juga menyediakan sarapan pagi bermula jam 6.00 pagi. Bagi aku agak lewat kerana aku cuma berkesempatan bersarapan sekali sahaja iaitu pada hari kedua. Pada hari ketiga dan keempat tidak sempat bersarapan kerana perlu bergerak jam 6 pagi. Pilihan sarapan agak terhad. Bayar murah.. banyaklah kau nak macam-macam menu.. ha ha ha..
Untuk mencari makanan juga tidak susah di Hotel Summer Season kerana lokasinya hanya beberapa meter dari Jalan Malioboro. Di hadapan hotel juga terdapat warung-warung jualan makanan. Tapi aku tak seleralah nak makan di warung-warung. Aku tengok mat salleh selamba je. Di sebelah kiri simpang masuk Jalan Sosrowijayan juga terdapat sebuah restoran yang agak baik, sedap dan murah iaitu Restoran Ayam Pedas Wong Jowo. Restoran KFC terletak selang beberapa kedai di sebelah Restoran Ayam Pedas Wong Jowo. Di sebelah kanan simpang masuk pula terdapat Outlet K iaitu kedai 24 jam ala-ala 7-11. Bolehlah mencari roti atau biskut jika kelaparan tengah malam. Di kaki lima Kedai K ini dibuka lesehan bermula lewat malam sehingga jam 7 pagi tetapi harganya agak mencekik darah.
Dari Lapangan Terbang Adisucipto, terdapat beberapa cara untuk ke kawasan ini. Boleh menaiki keretapi yang bertolak setiap 30 minit dengan harga tiket Rp.10,000. Berhenti di Stesyen Tugu dan boleh menapak atau ambil beca ke hotel. Terdapat juga perkhidmatan bas shuttle dinamakan Trans Jogja. Jika menggunakan Trans Jogja dari Airport Adisucipto, boleh ambil Route 1A di Halte Adisucipto Airport dan berhenti di Halte Malioboro 1 iaitu halte pertama di Jalan Malioboro. Tiket berharga Rp.3,000 sahaja untuk mana-mana perjalanan. Dari Halte Malioboro 1, boleh berjalan sejauh ke hadapan sedikit dan masuk ke kanan iaitu Jalan Sosrowijayan. Hotel terletak hanya beberapa meter dari simpang masuk.
Memandangkan semasa aku tiba di Jogja hari dah mulai gelap. Aku memilih untuk menggunakan teksi sahaja. Keluar je ke arrival hall tu berpuluh-puluh orang akan mengelilingi kita menawarkan khidmat teksi. Ada yang menawarkan Rp.200,000.. gila.. dia ingat aku tak survey dulu ke sebelum datang.. senang-senang nak kelentong. Akhirnya aku dapat teksi dengan harga Rp.70,000. Ingatkan teksi kereta, rupanya gunakan Suzuki APV. Perjalanan agak jem (macet). Sampai di Hotel aku bayar je Rp.100,000. Kesian pulak tengok pemandu teksi tu, dia macam terdesak je cari pelanggan.
Betul-betul di hadapan simpang masuk ke Jalan Sosrowijayan ini terdapat masjid, tapi aku nampak macam surau je. Ada satu lagi masjid berdekatan tetapi aku tak pasti lokasinya sebab waktu subuh kedengaran 2 azan. Masjid paling dekat ialah berhadadan jalan masuk Sosrowijayan. Jadi, bolehlah solat jemaah bila berkesempatan. Pada aku, subuh je yang sempat. Jangan terperanjat ye sebab solat subuh di sini tiada bacaan Doa Qunut. Selepas solat, wirid secara individu. Mula-mula aku tertunggu-tunggu Pak Imam mulakan wirid. Tau-tau Pak Imam terus bangun balik je. Di Malaysia je yang ada wirid dan Doa Qunut ni.
Ok, selesai cerita bab hotel. Pengembaraan bermula selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan